Kek Lapis Horlick Sarawak berasal dari negeri Sarawak. Ianya menjadi salah satu identiti bagi negeri ini. Kek lapis Sarawak terdapat dua jenis iaitu lapisan biasa dan kek dengan corak dan motif yang menarik. Kek-kek ini mempunyai pelbagai warna yang cantik.
Harga kek agak mahal kerana menggunakan banyak bahan yang menjadikan rasanya yang sedap dari kek lain. Selain itu untuk memasaknya mengambil masa yang lama dan agak leceh. Memerlukan ketekunan dan kesabaran membuat lapisan demi lapisan. Untuk membuat corak dan motif yang tersusun peralatan khas diperlukan. Dan sudah tentu memerlukan kemahiran agar corak tersusun dengan kemas.
Isi Kandungan
Kek Lapis Sarawak
Mungkin ada yang keliru antara kek lapis Betawi dan kek lapis Sarawak. Keduanya tidak sama, adunan dan tekstur berbeza. Jadi jangan tertukar pula ya.
Di Malaysia, kek lapis Sarawak telah dilindungi hakcipta nama dan tempat pengeluarannya di Perbadanan Harta Intelek Malaysia. Oleh sebab itu, kek ini hanya boleh dinamakan sebagai kek lapis Sarawak / Sarawak layer cake jika dibuat di Sarawak. Pembuat kek di luar Sarawak hanya boleh menamakan “Kek Lapis” atau menambah perkataan perkataan seperti “Ala Sarawak” atau “Stail Sarawak”
Kek lapis Sarawak pernah dimasak dalam rancangan pertandingan masakan di luar negara. Pertandingan Le Meilleur dan The Great British Bake Off.
Kek lapis sarawak terdapat di pasaran mempunyai 2 jenis iaitu jenis biasa dan premium. Harga bergantung kepada bahan-bahan yang digunakan. Kek yang menggunakan bahan premium seperti mentega, serbuk aiskrim harga kek menjadi lebih mahal dan rasa lebih sedap. Kek ini mengandungi gula yang tinggi dan menyebabkan ia tahan lama. Ia boleh tahan tanpa perlu disimpan di dalam peti sejuk. Sekarang dengan wujudnya peti sejuk, terdapat kek-kek yang telah dikurangkan kemanisannya mengikut selera individu.
Hari ini saya ingin berkongsi resepi Kek Lapis Horlick Ala Sarawak. Ini antara kek lapis yang saya gemari dan sering masak. Kek ini asalnya Kek Lapis Havana. Saya tukar sedikit resepinya buang pewarna untuk pelanggan yang tidak suka ada pewarna. Dan lebih mudah cara melapis. Kek ini saya kurangkan manis dari kebiasaan kek lapis Sarawak dan tidak berwarna. Jika ingin meletak warna boleh tambah pewarna.
Kek Lapis Havana
Untuk menonton video cara masak sila klik di sini
Resepi Kek Lapis Horlick ala Sarawak
Bahan-bahan
- 500gm Butter
- 100 Gula Halus
- 1 sudu besar Ovelet
- 10 Biji Telur Grade A
- 400gm Susu Pekat Manis
- 300gm Tepung Hong Kong atau Pau
- 250gm Horlick
- 100gm tepung susu
- 100gm Aiskrim Powder
Cara Mengadun
- Pukul mentega, gula dan ovelet sampai kembang. Gunakan kelajuan tinggi 7 ke 8 minit.
- Masuk telur satu persatu. Pukul hingga sebati
- Masuk susu pekat manis.
- Masuk Horlick, tepung aiskrim dan tepung susu. Pukul hingga sebati
- Masukkan tepung hong kong sedikit demi sedikit. Pukul hingga sebati
- Timbang adunan dan bahagi kepada 15 bahagian.
- Contoh berat adunan 2250 gm. Bahagi 15, jadi 150 gm
Cara-cara membakar
- Panaskan oven 160°C.
- Guna Loyang 8 in x 8 in dan tinggi 5 in. Perlu pakai loyang tinggi bukan loyang rendah
- Timbang 150 gm dan masukkan ke loyang.
- Guna api atas bawah untuk lapis pertama. Selepas lima minit, guna api atas sahaja
- Bakar lapisan berikutnya dengan hanya menggunakan api atas sahaja sehingga habis.
- Tempoh masa membakar bergantung kepada oven masing-masing. Adunan sudah masak apabila berwarna keperangan
- Keluarkan dari oven dan letak lapisan seterusnya
- Ulang sehingga habis
Selamat Mencuba