Blouse Kelawar | Baju kaftan atau lebih dikenali baju kelawar sinonim dengan pakaian kegemaran rakyat Malaysia di rumah terutama kaum hawa. Baju yang besar dan longgar selesa dipakai, lebih-lebih lagi dalam cuaca panas seperti di Malaysia. Tak hairan semasa PKP kaum lelaki turut tertarik dan memakainya di rumah, pinjam baju si isteri.
Isi Kandungan
Sejarah Kaftan
Tahukah anda kaftan ini sebenarnya pakaian kaum lelaki dan dipercayai telah wujud sejak zaman Mesopotamia. Ianya dipakai di Asia Tengah dan diperbuat dari kain dan hiasan mahal, menjadi pakaian yang mewah ketika itu. Ia mula berkembang sehingga ke negara China.
Kedatangan saudagar Arab ke tanah melayu semasa berdagang memperkenalkan pakaian ini. Jadi ia telah wujud sejak sekian lama.
Pemakaian kaftan ini bermula di pantai timur iaitu Terengganu dan Kelantan dan mula dipakai di seluruh Malaysia. Kaftan ini agak berbeza dengan kaftan asal. Kaftan direka dengan lebih mudah dan selesa. Jadi tidak pasti adakah ia berkaitan atau tidak.
Mana pula datangnya kelawar? Baju ini jika dikembangkan seperti sayap kelawar kerana cara jahitan secara lurus untuk membentuk lengan.
Blouse Kelawar
Suatu ketika dahulu kaftan baju kelawar yang dipakai ketika di rumah kurang sesuai untuk dipakai diluar. Lengan pendek dan kurang sesuai dipakai muslimah. Selaras dengan fesyen semasa, pelbagai gaya dan corak menarik direka agar sesuai dipakai di luar berhadapan dengan orang ramai.
Blouse yang ditunjukkan ini berinspirasi dari baju kaftan. Jika menjahit kaftan tiada potongan di bawah lengan. Untuk blouse ini ada potongan untuk memudahkan pergerakan tangan.
Saya mengemari memakai kain chiffon. Baju dipasaran memerlukan pemakaian baju dalam atau inner. Kadang-kala apabila di pakai dengan inner, tampak tidak cantik dan sepadan dengan baju. Kebiasaannya inner bersaiz kecil dan nipis jadi tidak sepadan dengan saiz baju yang besar. Timbul idea untuk menjahit sendiri berserta dengan inner apabila melihat kain chiffon yang cantik ini.
Menjahit blouse kelawar ini mudah saja. Bahagian bahu tidak dipotong. Kain dilipat dua dan potong di bahagian bawah lengan dan sisi badan. Cuma dengan cara ini, kain banyak membazir. Bahagian dipotong tadi tidak digunakan lagi.
Cara Jahit Blouse Kelawar dengan Inner
Material
- Kain untuk baju – kain chiffon
- Kain untuk Inner – kain t-shirt atau knitted cotton
Penggunaan kain chiffon yang nipis menyebabkannya kurang sesuai dipakai oleh muslimah kerana jarang. Namun kain chiffon ini cantik apabila dipakai, lembut dan ‘flowing’. Jadi agak sukar mencari inner yang sesuai. Di tambah pula lengan yang luas menyebabkan nampak sehingga ke dalam badan. Dengan penggunaan inner, dapat menutupi badan serta bahagian tangan sehingga ketiak.
Selain kain chiffon boleh pilih jenis kain lain yang lembut untuk baju. Contoh kain crepe, viscose, lycra dan sutera. Kain seperti viscose dan lycra biasanya tidak memerlukan inner. Kain tebal seperti Jacquard tidak sesuai dijadikan blouse kelawar kerana ia keras.
Ukuran Baju dan Inner
Ukuran ini sesuai untuk semua saiz. ‘Free Size’. Jika tidak sesuai ubah ikut ukuran badan sendiri.
Ukuran baju
- Bahu ke Lengan – 73 cm
- Ketiak – 52 cm
- Dada – 47 cm
- Pinggul – 70 cm
- Labuh – 76 cm
- Ukur lilit lengan – 25 cm
- Leher – 10 cm x 5 cm
Ukuran Inner
- Bahu ke Lengan – 73 cm
- Ketiak – 50 cm
- Pinggul – 35 cm
- Labuh – 70 cm
- Ukur lilit lengan – 16 cm
- Leher – 10 cm x 5 cm
Cara menjahit
- Lipat kain dan lipat sekali lagi dengan menidan lipatan kain tadi
- Letak pola atas kain dan gunting
- Gunting bahagian leher
- Lakukan sama untuk inner
- Cantum baju dan inner di bahagian leher
- Cantum tepi baju dan jahit
- Cantum tepi inner dan jahit
- Jahit bawah baju. Lebih mudah jika ada tapak untuk jahit tepi
- Jahit bawah inner
- Jahit hujung lengan baju dan inner
- Siap!
Untuk lebih faham sila layari youtube channel kami Hobi Kreatif
Kesimpulan
Blouse ini mudah dijahit dan cantik. Sesuai untuk semua jenis bentuk badan. Jika terlalu kecil atau besar ubah ukuran mengikut saiz badan anda.
Selamat Mencuba!